Di Tambun kita sebut ayor, bukan ayaq – Ahmad Faizal
TIMBALAN Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilihat cuba menggambarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebagai orang luar.
Menerusi video berdurasi 28 saat yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini, Menteri Belia dan Sukan berkenaan memberi sedikit ‘pesanan’ kepada Ketua Pembangkang itu secara bersahaja tetapi sinis mengusik.
“Hai Assalamualaikum. Bagi mereka yang nak berhijrah daripada tempat lain, dari satu tempat ke satu tempat, dan nak datang ke Tambun, saya nak beritahu sikit.
“Di Tambun kita sebut ‘ayor’. Dengar betul-betul, ayor, bukan ‘ayaq’. Ok terima kasih. Selamat datang,” katanya dalam video itu.
Ayor ialah loghat bagi perkataan air di Perak, manakala Pulau Pinang, tempat asal Anwar, menggunakan loghat utara yang menyebut air sebagai ayaq.
Semalam, Anwar mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU-15.
Beliau membuat pengumuman berkenaan ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (ICC), malam tadi.
Tambun pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) tetapi berjaya dirampas oleh Ahmad Faizal untuk kemenangan Bersatu yang ketika itu menggunakan lambang PH. – Malaysiapost