Fazura sebak lihat keadaan Jahidah
PASANGAN pelakon dan usahawan terkenal, Fazura dan suami Fattah Amin menziarahi wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, baru-baru ini.
Menerusi hantaran Facebook adik mangsa, Fauziah Nordin, menunjukkan pasangan suami isteri itu melawat ke kediaman mereka yang terletak di Sendayan, Negeri Sembilan untuk bertanya khabar Jahidah.
Dalam pertemuan itu, Fauziah berkata Nur Fazura kelihatan sebak apabila pertama kali melihat keadaan kakaknya yang terlantar sakit.
Katanya, air mata Nur Fazura sudah mengalir biarpun belum lagi melangkah masuk ke bilik Jahidah.
“Ketika hendak masuk ke bilik tengok kakak, Fazura tak boleh nak masuk sebab dia sudah sebak menangis di luar bilik, tidak sanggup tengok keadaan Kak Jahidah.
“Suami dia (Fattah Amin) pujuk dia kuatkan hati tengok Kak Jahidah,” katanya dalam hantaran itu.
Fauziah turut menyifatkan pasangan itu sangat merendah diri dan baik hati kerana sanggup datang melawat Jahidah serta anaknya, Eshan Nufail.
“Rezeki dapat berjumpa Fazura dan Fattah Amin.. memang ‘humble’ sangat pasangan ini, peramah tak kekok bergaul.
“Baiknya hati Fazura, suami dan ‘team’ datang melawat Kak Jahidah, walaupun orang terkenal tapi sangat merendah diri sanggup datang melawat kakak dan Nufail.
“Terima kasih Fazura, Fattah amin dan ‘team’ Mukmin Pro sudi datang melawat,” katanya.
Kisah Jahidah, seorang penjawat awam tular selepas koma ketika sarat mengandung selepas mengalami kecederaan serius pada kepala dan tengkorak disyaki akibat dipukul suaminya.
Mangsa kini di bawah jagaan adiknya di Sendayan yang turut bertanggungjawab membesarkan Ehsan Nufail, anak lelaki kepada Jahidah. – Malaysiapost