Januari depan Mahkamah dengar semakan sabitan kes Najib
MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 19 Januari depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi membatalkan sabitan terhadap bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah menetapkan selama tiga hari dari tarikh itu untuk mendengar permohonan Najib bagi menyemak semula keputusan yang mengekalkan sabitan bersalah serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya.
Peguambela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan tarikh perbicaraan berkenaan yang ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.
“Mahkamah (persekutuan) telah menetapkan 19, 20 dan 26 Jan pada 2023 untuk mendengar semakan semula,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.
Selain Farhan, turut hadir dalam pengurusan kes hari ini ialah peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta anggota pasukan pembelaan lain iaitu Syafiqah Sofian dan Wan Arfan Wan Othman.
Pihak pendakwaan diwakili oleh timbalan pendakwa raya, V Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul.
Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi permohonan semakan semula yang difailkan pada 6 Sept lalu.
Najib sebelum ini memohon semakan keputusan mahkamah tertinggi itu pada 23 Ogos lalu yang menolak rayuannya untuk membatalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara dan denda atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.
Najib yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, memohon panel hakim berbeza selain yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menolak rayuannya sebelum ini. -Malaysiapost