Kajian Ericsson bukti kesediaan penggunaan 5G

Kajian Ericsson bukti kesediaan penggunaan 5G

Zamri Ismail

Diunjurkan sebanyak empat juta rakyat Malaysia akan melanggan perkhidmatan rangkaian selular jalur lebar generasi kelima (5G) pada tahun 2023.

Menurut kajian pengguna terbesar oleh Ericsson, kesediaan pengguna bagi penerimagunaan 5G di Malaysia adalah tinggi dengan 43 peratus pengguna di negara ini berhasrat untuk melanggan 5G pada 2023 dan 25 peratus sudah pun memiliki alat peranti berkeupayaan 5G.

Data ini jelas menunjukkan kecenderungan tinggi ke arah penerimagunaan 5G. Prospek aplikasi dan perkhidmatan inovatif baharu merupakan faktor utama dalam kadar penerimagunaan 5G.

Laporan Ericsson ConsumerLab’s 5G: The Next Wave menyatakan: “Seorang daripada setiap lima pengguna awal mengharapkan aplikasi inovatif dan hampir dua kali ganda pengguna 5G yang berpotensi berharapkan liputan rangkaian yang kukuh.”

Menurut laporan itu, 87 peratus daripada pengguna di Malaysia mengambil kira pengalaman 5G inovatif sebagai faktor penting dalam pelan jalur lebar mudah alih mereka.

Penyedia perkhidmatan mudah alih juga perlu mencerminkan permintaan pengguna dalam penawaran 5G mereka dan berusaha untuk menambahbaik kualiti dan kandungan 5G mereka.

Antara trend utama yang digariskan dalam laporan itu adalah penerimagunaan 5G tidak terkesan dengan inflasi, di mana sekurang-kurangnya 510 juta pengguna di 37 pasaran dijangka melanggan 5G pada 2023.

Keseluruhannya, pengguna menggunakan 5G sebagai sebahagian penting daripada gaya hidup mereka pada masa depan.

Dapatan Ericsson ini berpandukan kepada hasil temubual dan kaji selidik mewakili pandangan kira-kira 1.7 bilion pengguna di seluruh dunia, termasuk 430 juta pelanggan 5G.

Justeru, hasrat berjuta rakyat Malaysia untuk melanggan 5G adalah satu jumlah yang begitu membanggakan dan tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana Telco.

Dapatan kajian ini juga berjaya membuktikan bahawa inisiatif 5G Malaysia menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) tidak akan merugikan rakyat, malahan memberikan prospek keuntungan jangka panjang kepada negara.

Disebabkan inilah, inisiatif 5G Malaysia oleh DNB ini perlu sentiasa didukung sebagai pelaksana utama bagi memastikan infra-fasiliti asas 5G dipersiap dan kukuh bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Penyumbang artikel ini merupakan
mahasiswa dalam bidang teknologi maklumat di sebuah universiti tempatan

Komen