Kerajaan Selangor cuba halang program kementerian
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, mendedahkan terdapat cubaan kerajaan negeri menghalang program Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor yang diadakan semalam.
Beliau berkata, program tersebut diadakan di Dataran Eco Grandeur, Puncak Alam, Kuala Selangor dan telah mendapat kebenaran pemilik tapak berkenaan.
“Walaupun kerajaan negeri tak benarkan program ini diadakan tetapi kita telah mendapat kebenaran dari tuan tanah kerana tapak program ini ialah tapak milik swasta.
“Ini susahnya bila ada satu kerajaan yang tidak prihatin dengan golongan usahawan. Cuba nak halang sesuatu program yang baik untuk usahawan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Noh berkata, sepatutnya kerajaan negeri tidak boleh menghalang program yang dianjurkan oleh kementerian dan beliau menegaskan bukan semua program dianjur berunsurkan politik.
“Saya cukup faham kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan untuk berkempen. Ini program kementerian, program kerajaan sepatutnya tiada halangan. Dia fikir semua program kerajaan program politik?,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noh mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir dan menyempurnakan program tersebut.
Turut hadir, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. – Malaysiapost