Menteri agama minta lewatkan sedikit final AFC 2022

Menteri agama minta lewatkan sedikit final AFC 2022

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad telah menghubungi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi meminta agar sepak mula perlawanan akhir Piala AFC 2022 esok di lewatkan sedikit.

Menurutnya, ia bagi memberi ruang penyokong yang ingin menyaksikan penentuan antara wakil Malaysia, KL City dan wakil Oman, Al Seeb, di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk solat Maghrib.

“Pada masa sama, saya juga meminta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk menyediakan ruangan solat bagi kemudahan para penonton.

“Dan mungkin boleh memberi pendedahan praktikal mudah untuk mengambil wuduk yang menyenangkan penonton untuk solat,” katanya dalam satu hantaran di facebook, hari ini.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membawa kemudahan surau bergerak ke stadium berkenaan.

“Jadi, harapan saya semua penonton yang muslim boleh tunai solat dengan tenang. Saya doakan juga kemenangan KL City dengan penuh bergaya.

“Dah solat, mesti jeritan ‘Goool’ bakal bergema di pihak KL City dengan lebih semangat hendaknya,” katanya.

Perlawanan Akhir Piala AFC 2022 antara KL City dan Al Sheeb akan diadakan di Stadium Bukit Jalil dengan sepak mula dijadualkan pada jam 7 malam  yang bertembung dengan masuk waktu solat Maghrib. – Malaysiapost

Komen