Peniaga pening bekalan ayam tak stabil

Peniaga pening bekalan ayam tak stabil

Ben Ibrahim 

JIKA tiga minggu lalu, pengguna di Kuantan, Pahang berdepan masalah mendapatkan telur, minggu ini masalah bekalan ayam pula berlaku. 

Peniaga-peniaga ayam di pasar Balok yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar raya Kuantan mendakwa pembekal mula mengurangkan penghantaran hingga menjejaskan operasi perniagaan mereka. 

Seorang peniaga, Ali Akhbar Othman, 50, berkata, sejak hujung minggu lalu dia hanya menerima hampir separuh daripada jumlah ayam dipesan daripada pembekal. 

“Saya dah dekat seminggu tak boleh berniaga sebab bekalan memang susah nak dapat dan harganya juga mahal. 

“Jadi, kadar keuntungan semakin kecil dan saya ambil keputusan untuk berhenti dulu, tutup kedai sehingga bekalan kembali stabil,” katanya ketika ditemui, hari ini. 

Menurutnya, bukan saja bekalan berkurangan, harga ditawarkan di peringkat pemborong juga meningkat secara mendadak. 

Katanya, peniaga menerima ayam belum diproses dengan harga RM9.50 sekilogram dan perlu menjual pada harga RM10.80 sekilogram untuk mendapatkan sedikit keuntungan. 

“Masalahnya sekarang kerajaan cakap kami kena jual pada harga RM9.40 sekilogram, kalau lebih kena kompaun. 

“Kalau jual pada harga dicadangkan kerajaan, mana kami ada untung, baik saya tutup dulu kedai daripada tanggung kerugian,” katanya lagi. 

Seorang lagi peniaga ayam di pasar itu, Rokiah Man, 60, turut menyuarakan keluhan sama dan berharap kerajaan dapat melihat isu ini lebih serius. 

“Kadar keuntungan makin kecil dan kita tidak ada pilihan, nak jual murah tapi kita ambil daripada pembekal pun pada harga tinggi, jadi memang tersepit jugalah. 

“Silap sikit kena kompaun hingga RM10,000… berapa hari kita berniaga baru nak dapat jumlah itu, jadi pihak berkuasa tengoklah benda ini, bukan hanya peniaga, tengok juga pembekal,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak 20 tahun lalu. – Malaysiapost 

Komen