Perkhidmatan PMC ditamatkan Ahad ini
PERKHIDMATAN Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) yang ditubuhkan sejak 11 November 2020, secara rasminya akan ditamatkan pada Ahad ini.
Sehubungan itu, pautan bagi permohonan mediasi di laman sesawang www.pmc.19.gov.my akan ditutup pada jam 11.59 malam, 22 Oktober 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata PMC-19 ditubuhkan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 829].
“PMC-19 berperanan membantu orang awam menyelesaikan pertikaian yang berbangkit daripada ketidakupayaan untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraktual yang timbul akibat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19.
“Pengantaraan (Mediasi) yang dilaksanakan di bawah PMC-19 adalah secara sukarela dan nilai pertikaian yang boleh dirujuk untuk pengantaraan melalui PMC-19 adalah tidak melebihi RM500,000, kecuali pertikaian berhubung kontrak pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang penubuhan PMC-19, sebanyak 290 kes telah dirujuk ke PMC-19 dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 79 kes telah diselesaikan dengan nilai pertikaian terkumpul berjumlah RM3.8 juta.
“Kerajaan amat bangga kerana PMC-19 berjaya membantu Keluarga Malaysia untuk menyelesaikan pertikaian kontrak akibat pelaksanaan PKP dan penularan COVID-19 secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan di mahkamah.
“Penyelesaian pertikaian melalui pengantaraan ini terbukti berkesan kerana ianya lebih pantas, menjimatkan kos dan menawarkan penyelesaian secara menang-menang kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, perkhidmatan pengantaraan percuma yang ditawarkan di bawah PMC-19 itu pastinya tidak akan berjaya tanpa sokongan mediator (pengantara) yang digerakkan oleh Malaysian Bar di Semenanjung Malaysia, Sabah Law Society (SLS) di Sabah dan The Advocates Association of Sarawak (AAS) di Sarawak.
“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan Pusat Mediasi Covid-19, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang telah berkhidmat sepanjang penubuhan PMC-19 serta kepada pengantara-pengantara di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang menjayakan inisiatif ini.
“Kerajaan menghargai semua yang membantu pelaksanaan PMC-19 dan Keluarga Malaysia yang menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu pihak-pihak terkesan akibat pelaksanaan PKP di sepanjang penularan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost