Potong gaji bukan penyelesaian, hanya gimik politik – Shamsul Anuar

Potong gaji bukan penyelesaian, hanya gimik politik – Shamsul Anuar

JANJI Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memotong gaji dan elaun Perdana Menteri serta Menteri Kabinet jika beliau diberi mandat menerajui kerajaan pada 20 November ini, dilihat hanya sebagai gimik politik.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata apa yang diumumkan oleh Presiden PKR itu bukanlah penyelesaian kepada masalah negara, sebaliknya gimik politik semata-mata

“Rakyat Malaysia sudah bijak. Apa yang mereka mahu ialah pemimpin yang mampu membawa kestabilan kepada negara.

“Rakyat mahukan juga kemakmuran demi masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas mengenai janji dibuat Anwar ketika berucap pada Konvensyen PH Nasional di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh malam tadi.

Anwar dalam ucapannya berjanji jika beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah memotong gaji dan elaun Perdana Menteri.

Beliau turut berjanji akan mengurangkan bilangan Jemaah Menteri serta gaji dan elaun mereka pada kadar jauh lebih rendah daripada gaji yang diterima menteri-menteri sekarang ini.  

Shamsul Anuar mendakwa sejak sekian lama, Anwar dan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad adalah dua watak yang telah lama membawa ketidakstabilan politik dalam negara ini. 

“Kerana mereka Malaysia mengalami banyak masalah. Isu-isu yang melanda negara ini, hampir kebanyakannya melibatkan mereka.

“Rakyat Malaysia sudah keletihan kerana mereka. Malaysia mahu maju kehadapan. Kita mahukan negara kita lebih hebat

dari negara lain.

Menurutnya, tindakan dan gimik politik sedemikian yang tidak membawa banyak faedah kepada rakyat sudah tidak lagi dimahukan oleh rakyat.

“Kepada yang jadi PM atau Menteri tak perlulah potong gaji sebagai gimik. Rakyat Malaysia pun tahu, jika tanggungjawab dilaksana dengan baik itu menjadi hak PM atau Menteri untuk memperolehi gaji atau elaun berkenaan.

“Apa yang kita mahu ialah bagaimana mahu kembalikan Malaysia pada kedudukan yang mampu terkehadapan dan membela kepentingan rakyat dalam semua perkara,” katanya. – Malaysiapost

Komen