PRU-15 : ‘Kenapa Anwar boleh, Najib tidak?’ – anak Najib
NOORYANA Najwa mempersoal larangan berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi bapanya, Datuk Seri Najib Razak, sedangkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan berkempen ketika PRU-14.
Beliau berkata, bapanya itu dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan melibatkan PRU-15.
“Kenapa Anwar boleh tapi Najib tak boleh. Adakah sebab namanya Najib?,” katanya pada hantaran di Instagram semalam.
Pada 2015, Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat.
Semalam, media melaporkan, tiada sebarang kenyataan boleh dikeluarkan oleh Najib membabitkan PRU-15.
Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia Supri Hashim berkata, ini kerana mana-mana banduan yang menjalani hukuman penjara tidak dibenar keluarkan sebarang kenyataan termasuklah bekas Perdana Menteri itu.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang. – Malaysiapost