PRU15: PH tidak perlukan Tun M – Saifuddin

PRU15: PH tidak perlukan Tun M – Saifuddin

PAKATAN Harapan (PH) tidak memerlukan kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, gabungan itu telah bersiap bersedia menghadapi PRU15 tanpa penglibatan bekas Perdana Menteri itu meskipun menghormati pelawaannya.

“Kami hormat sebagai rakan yang pernah kami ada pengalaman berjuang bersama. Kami faham ketika terdesak mencari kawan, semasa senang mungkiri janji.

“Ya. Kita berkongsi tujuan yang sama untuk kalahkan BN dan PN. Namun, PH hadapi PRU15 kali ini sebagai gabungan tanpa Mahathir.

“Kami doa Mahathir diberi kesihatan yang baik dan jika Mahathir pilih masuk bertanding kami ucap selamat maju jaya,” katanya dipetik Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi parti Pejuang itu bahawa beliau menghulurkan tangan perdamaian dengan Anwar, menjelang PRU yang bakal berlangsung November ini. 

Saifuddin menjelaskan, keutamaan PH untuk menyatukan parti komponen dan meneruskan pakatan pilihan raya dengan parti yang dipersetujui gabungan itu.

“Kami pernah mempunyai hubungan dengan Mahathir pada PRU 2018 dengan niat dan tujuan yang baik iaitu menjatuhkan kerajaan kleptokrat.

“Hasilnya Mahathir jadi perdana menteri dengan dokongan parti-parti PKR, DAP dan Amanah. Ketika itu semua keputusan dibincang bersama tapi Mahathir letak jawatan tanpa sepatah pun bawa bincang.

“Pendirian Mahathir juga sangat jelas bahawa dia tidak pernah cuba mematuhi perjanjian yang dimeterai. Dia tahu tentang perancangan khianat dari dalam. Dan dia pilih untuk melanggar janji disepakati,” katanya. 

Terdahulu, Mahathir yang merupakan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, beliau sanggup memulakan langkah bekerjasama dengan Anwar demi mengelakkan kerosakan kepada negara. -Malaysiapost

Komen