Zahid belum terniat tidak bertanding PRU15

Zahid belum terniat tidak bertanding PRU15

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan yang beliau berhasrat untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mendakwa beliau tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk sekali gus melenyapkan khabar angin beliau tidak bertanding pada PRU kali ini.

Ahmad Zahid menegaskan, beliau akan berunding mengenai pencalonannya dalam tempoh terdekat, dan mengumumkannya sebelum hari penamaan calon PRU15 pada 5 November ini. 

“Saya tak tahu di mana punca dan sumber menulis (berita) begitu. Saya fikir elok tanya orang atau kumpulan itu.

“Saya belum terniat melakukan sedemikian (tak tanding),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran dan pelancaran Jentera BN Terengganu di Jenagor, Hulu Terengganu, hari ini.

Spekulasi berita Presiden Umno itu tidak bertanding pada PRU15 tercetus awal pagi hari ini menerusi laporan Sinar Harian. 

Spekulasi itu mendakwa Ahmad Zahid tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dan tempatnya bakal diganti sama ada anaknya, Nurulhidayah, atau pun orang kanannya sendiri.

Susulan itu, Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan, dipetik Umno Online menjelaskan, tiada sebarang kenyataan sebegitu dikeluarkan oleh Ahmad Zahid, malah menyifatkannya sebagai propaganda politik. -Malaysiapost

Komen