7 lagi rakyat Malaysia mangsa sindiket pemerdagangan manusia diselamatkan

7 lagi rakyat Malaysia mangsa sindiket pemerdagangan manusia diselamatkan

PERTUBUHAN Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menyelamatkan dan akan membawa pulang tujuh rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Vietnam.

Wakil MHO, Azirul Shafiq berkata, semua mangsa selamat tiba di sebuah lokasi yang ditetapkan pihak kedutaan Malaysia di Kemboja.

“Salam sejahtera dan salam kemanusiaan, pada malam ini kita telah berjaya menyelamatkan tujuh orang dari Johor, enam lelaki dan seorang perempuan semuanya Melayu.

“Mereka telah diselamatkan di sebuah lokasi di sempadan Vietnam, lebih kurang dua jam dari Phnom Penh, dan akhirnya mereka telah selamat tiba di sebuah tempat yang telah ditetapkan oleh pihak kedutaaan Malaysia di Kemboja,” katanya menerusi rakaman video di Facebook MHO.

Azirul berkata, proses menyelamatkan semua mangsa itu dilakukan melalui kerjasama banyak pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kedutaan Malaysia di Kemboja serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja, PDRM dan NGO yang beri dokongan padu pada usaha ini seperti MCCC, AL-Ehsan, Semboyan, PAKIN dan semua NGO yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata, pihak kedutaan akan menguruskan urusan menghantar pulang semua mangsa tersebut.

“Selepas ini, mereka juga akan diuruskan oleh pihak kedutaan, yang mana pegawai mereka juga telah hadir. InsyaAllah dalam masa terdekat, setelah proses mereka selesai, maka mereka akan pulang ke tanah air,” katanya. – Malaysiapost

Komen