Bertanding di Machang, Wan Ahmad Fayhsal masih berteka-teki

Bertanding di Machang, Wan Ahmad Fayhsal masih berteka-teki

Najamuddin Mohd Nor

KETUA Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal masih berdolak-dalik spekulasi hangat bakal bertanding di Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Beliau berkata, perkara itu tidak dapat disahkan kerana pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) belum memuktamadkan urusan pembahagian kerusi di antara parti-parti komponen. 

“Saya tak tahu pun tentang ini. Dan saya tak boleh sahkan kerana pucuk pimpinan belum umum apa-apa pun. 

“Saya tak boleh nak halang spekulasi ni, maklumlah musim pilihan raya. Ya pun tak, nafi pun tak. 

“Ini spekulasi sahaja, nanti tak lama lagi dapat tahu lah. Mungkin di Machang, ada yang cakap di Bagan Serai, tunggu sahajalah pengumuman,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini. 

Wan Ahmad Fayhsal berkata, senarai nama calon PN yang bertanding PRU15 akan diumumkan masa terdekat ini oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Tunggulah pengumuman PN, saya rasa dalam masa beberapa hari lagi. Kita pun tunggu sebab memudahkan urusan calon dan jentera nak bekerja untuk PRU15 ni,” katanya. 

Sementara itu, menurut sumber yang memberitahu Malaysiapost, dalam satu program PN di Kota Bharu semalam, Muhyiddin telah meminta jentera PAS Kelantan untuk membantu kempen sekali gus memastikan Wan Ahmad Fayhsal menang di Parlimen Machang pada PRU15 ini. 

Kerusi Parlimen Machang telah dimenangi calon BN, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada PRU14 lalu. -Malaysiapost

Komen