Durian boleh jadi tempoyak bila tiba masanya – Abdul Hadi

Durian boleh jadi tempoyak bila tiba masanya – Abdul Hadi

WALAUPUN raja buah durian mempunyai duri yang tajam, namun ia boleh menjadi tempoyak bila tiba masanya. 

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak kisah biarpun digelar timun kerana Umno yang memiliki duri durian lambat laun akan menjadi tempoyak juga untuk dicicah oleh timun. 

“Saya dengar kenyataan dia (Ahmad Zahid). Jaga-jaga dia kata…dia kata “Kami (Umno) ini durian, Pas pula timun.

“Ha tak apa, biarlah kamu durian kami timun tak apa. Kita sabar. Kita lok (biarkan). Biar durian itu masak, luruh dan jatuh. Lok (biarkan) jadi tempoyak. Lepas jadi tempoyak, selam (cicah) dalam budu. Ambil timun tenyeh di atas (tempoyak dalam budu). Akan tiba masanya,” katanya dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Kota Bharu, Kelantan, malam semalam. 

Abdul Hadi berkata demikian susulan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengingatkan PAS bahawa durian yang mentah tetap berduri dan boleh melukakan sesiapa sahaja. 

Abdul Hadi menjelaskan, kerjasama Umno dan PAS terbantut dan menyamakan seperti durian mentah ekoran sikap kurang sabar pihak tertentu.

“Ada orang kita tu nak menang deghah (cepat). Kita ingat Muafakat Nasional (MN) boleh menang cepat kerana Umno ni banyak cawangan dia dan duit dia banyak. Ingatkan kita boleh tumpang sama untuk menang.

“Saya kata jangan cepat sangat. Macam buah durianlah. Putik lagi dan jangan dikait takut jatuh atas kepala. Saya kata tunggu masak tetapi dia marah,” katanya. -Malaysiapost

Komen