GTA mula perbincangan bersama PN
GERAKAN Tanah Air (GTA) sudah memulakan perbincangan bersama Perikatan Nasional (PN) kemungkinan untuk mengadakan kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kedua-dua pihak kini berusaha mencapai persefahaman sebelum rundingan secara rasmi dapat dibuat.
Beliau berkata, kerjasama itu mampu dicapai sekiranya kedua-dua pihak dapat mengetepikan perbezaan pendapat dan menetapkan matlamat dalam memastikan Barisan Nasional (BN) tidak menang pada PRU15.
“Ya, GTA dan PN memang ada melakukan perbincangan bagi melihat kemungkinan dapat bekerjasama pada PRU15, namun ia belum sampai ke tahap rundingan rasmi lagi setakat ini.
“Perbincangan masih di peringkat awal yang mana kita masih perlu menentukan konsep gabungan berkenaan dan setakat ini, respon PN adalah positif,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, pihaknya sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama bersama PN bagi menghadapi PRU15.
Dr Mahathir berkata, pihaknya sedia bekerjasama bersama PN, yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara bertentangan dasar dan prinsip.
Mukhriz yang juga Presiden Pejuang berkata, sekiranya dipersetujui, gabungan itu perlu dibuat segera kerana kedua-dua pihak kini kesuntukan masa berikutan penamaan calon PRU15 ditetapkan pada 5 November ini.
“Kita melihat kerjasama ini boleh dibuat dalam bentuk gabungan politik (GTA dan PN), tetapi ia berkemungkinan agak sukar kerana kesuntukan masa,” katanya. – Malaysiapost