Kahwin tanpa restu, Abang Viva mohon beri ruang selesai isu dengan keluarga
SELEPAS kecoh di media sosial, Azwan Omar atau lebih popular dengan gelaran Abang Viva tampil menjelaskan isu perkahwinannya yang didakwa berlangsung tanpa restu dan pengetahuan keluarga.
Penjelasan itu dibuat Azwan menerusi siaran langsung di Facebook malam tadi, bagi menjawab isu tular yang menjadi bualan hangat netizen sejak semalam.
Namun, Azwan dalam masa yang sama memohon semua pihak agar mendoakan yang terbaik buatnya dan keluarga serta meminta diberikan ruang menyelesaikan salah faham yang berlaku secara tenang dan tertutup bersama keluarganya.
“Saya mohon semua pihak mendoakan yang baik-baik. Bagi saya dan keluarga ruang.
“Doakan kami dan kami akan bincang secara tertutup. Saya memang akan balik ke rumah ibu bapa, itu dah pasti, InsyaAllah,” katanya memetik laporan Mstar.
Mengulas dakwaan kononnya dia berkahwin tanpa pengetahuan ibu dan bapa, Azwan dengan tegas menafikan perkara berkenaan selain turut menunjukkan paparan perbualannya bersama ibu di aplikasi WhatsApp, sebagai bukti.
“Saya bukan bernikah tapa pengetahuan ibu dan ayah seperti yang diceritakan. Saya bernikah memang dengan pengetahuan ibu dan ayah.
“Saya dah beritahu ayah tiga kali yang saya nak berkahwin, manakala dengan ibu pula saya dah lima kali cakap nak berkahwin. Cuma mereka tidak bersetuju sangat dengan calon yang saya pilih.
“Kali terakhir saya beritahu (nak kahwin)adalah pada 12 Oktober (dua hari sebelum bernikah). Selepas nikah, pada 15 Oktober saya ada WhatsApp, 16 Oktober pun saya mesej beritahu dah kahwin. Saya hantar gambar kahwin saya dekat mak berserta video akad nikah sebab saya baru dapat waktu tu,” katanya.
Mengakui terkesan dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi kisah pernikahannya dan konflik dengan keluarga tular di media sosial, Azwan berkata dia terpaksa membuat penjelasan menerusi siaran langsung bagi membetulkan salah faham banyak pihak terhadap dirinya.
“Ada tanya kenapa tak bincang dalam grup WhatsApp keluarga? Sebabnya, saya telah dikeluarkan dari grup. Saya kena ‘kick’ oleh kakak sendiri.
“Ketika itu saya turun ke Baling, Kedah untuk misi bantuan banjir sekitar Julai lalu. Tipulah kalau tak ambil hati, tapi saya anggap ini ujian selepas berkahwin.
“Saya akui, mak dan ayah nombor satu, saya akan balik. Tapi saya tak mahu cerita lebih, akan buka benda tak sepatutnya. Saya tak nak jadi seperti pihak sana. Mohon doakan yang baik-baik,” katanya.
Difahamkan, Azwan yang juga aktif dalam misi bantuan banjir selamat bernikah dengan pilihan hatinya yang dikenali sebagai Evanoza Zakaria pada 14 Oktober lalu.
Semalam, hangat di media sosial susulan hantaran seorang wanita di Facebook dipercayai kakaknya Fauziyah Omar yang mendakwa perkahwinan Azwan berlangsung tanpa restu keluarga. – Malaysiapost