Kerajaan komited utama pembangunan digital, wujud masyarakat celik teknologi – PM
KERAJAAN sentiasa mengutamakan pembangunan digital dan kekal komited mewujudkan masyarakat celik teknologi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, penggunaan teknologi muktahir ini membawa cabaran baharu kepada semua sektor yang memerlukan mereka berubah seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan telah melancarkan Inisiatif Malaysia Digital (MD) pada Julai lalu yang memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia bersiap siaga untuk meletakkan negara di saf hadapan dalam sektor ekonomi digital.
“Antaranya termasuk Pakej Remaja Keluarga Malaysia dengan langganan pelan data internet hanya RM30 akan dilanjutkan sehingga April 2023; Inisiatif e-Pemula sebanyak RM200, Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar.
“Di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 pula, kerajaan menyediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk dan memperluaskan rangkaian 5G,” katanya pada Majlis Penyerahan Komputer #thetaCares di Bera, Pahang, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan sentiasa menitikberatkan penguasaan literasi digital dalam kalangan Keluarga Malaysia ketika negara menempuh era revolusi industri 4.0 dan melangkah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
“Ini kerana dalam revolusi industri 4.0, segala urusan harian manusia akan banyak bergantung kepada teknologi terkini seperti automasi robotik yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.
“Agenda literasi digital mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika saya menerajui semula kerajaan. Saya berharap anda semua mampu membuat penilaian yang tepat dan mengundi semula kerajaan saya pada 19 November ini,” katanya.
Beliau turut percaya ledakan digital ini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang celik IT selain memberi ruang kepada lebih banyak inovasi yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa suatu hari nanti. – Malaysiapost