PAS mahu Hadi kekal di Marang

PAS mahu Hadi kekal di Marang

KHIDMAT Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang masih ditagih rakyat di Parlimen Marang. 

Justeru, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, PAS Marang mahu Abdul Hadi terus mempertahankan Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, PAS hanya menamakan Abdul Hadi sebagai calon parti itu bertanding di Parlimen Marang. 

“Saya sendiri dari Marang memang kita calonkan presiden. Kami di Marang mahukan ‘tuan guru’ kekal bertanding,” katanya dipetik FMT, hari ini.

Sementara itu, Ariffin berkata PAS dan Perikatan Nasional (PN) Terengganu mensasarkan menang semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu, berdasarkan “mood” rakyat negeri itu ketika ini.

“Rakyat sudah melihat apa yang kita lakukan di Terengganu selepas kembali mentadbir negeri selepas PRU 2018 lalu,” katanya.

Menjelaskan mengenainya, Ariffin berkata, PAS kekal bertanding di enam kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14, iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Kemaman, Dungun, dan Setiu.

Manakala Bersatu akan bertanding di Hulu Terengganu, sementara Besut masih dalam perundingan.

Jelasnya, calon PAS bagi kerusi Parlimen terdiri daripada penyandang masing-masing serta dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri atau Exco kerajaan negeri.

Dalam pada itu, PAS Terengganu hampir pasti akan menggunakan lambang bulan pada PRU kali ini, termasuk kerusi yang ditandingi calon Bersatu, katanya.

“Kita di Terengganu akan guna lambang PAS, termasuk oleh calon Bersatu, itu keputusan dibuat setakat ini. Kalau ada perubahan saat akhir kita tak tahu,” katanya. -Malaysiapost

Komen