Program SPKLB usaha tingkatkan ekonomi warga KETENGAH

Program SPKLB usaha tingkatkan ekonomi warga KETENGAH

LEMBAGA Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperkenalkan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ianya bertujuan meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar  melalui pembangunan keusahawanan. 

Katanya, inisiatif ini bagi menggalakkan penduduk luar bandar menceburi bidang perniagaan dengan kemudahan sokongan disediakan kerajaan.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 67 usahawan menerima geran berjumlah keseluruhan RM560,000, manakala 24 peserta menerima geran RM5,000 seorang hari ini, membabitkan jumlah keseluruhan RM120,000.

“Selain itu, sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh, anak syarikat KETENGAH, iaitu Ketengah Holding Sdn Bhd telah menyumbang bot dan peralatan penyelamat kepada pasukan Bomba Sukarela Kampung Jongok Batu.

“Sumbangan bernilai lebih RM36,000 itu sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga KETENGAH di Kompleks Sukan Bandar Seri Bandi, di Chukai, semalam. 

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi KETENGAH, Datuk Seri Ahmad Said.

Sementara itu, Mahdzir berkata, KETENGAH selesai menyerahkan 91 peratus geran hak milik pembangunan perumahan dan premis perniagaan sebanyak 4,053 unit bernilai RM74.05 juta untuk memastikan kehidupan persekitaran warganya lebih sejahtera, selamat dan berkualiti. 

“Hari ini sejumlah 214 lagi geran hak milik diserahkan oleh Perdana Menteri,” katanya. 

Mahdzir berkata, KPLB juga menjalankan Program Desa Lestari (PDL) untuk mengupayakan warga desa menerusi Koperasi Komuniti bagi melaksanakan projek pembangunan ekonomi di kampung. 

“Hari ini Perdana Menteri menyerahkan geran RM500 ribu kepada Koperasi Agrotani Pemud Seri Bandi Kemaman Berhad untuk laksana projek tanaman rumput ‘Napier’ berkelompok,” katanya. – Malaysiapost

Komen