PRU15: BN Johor dijangka buat kejutan, letak calon luar kawasan

PRU15: BN Johor dijangka buat kejutan, letak calon luar kawasan

BARISAN Nasional (BN) Johor dijangka membuat kejutan, dengan meletakkan sekurang-kurangnya tiga atau empat `calon luar’ yang akan bertanding di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata `calon luar’ berkenaan merujuk kepada calon yang diletakkan bertanding di kawasan Parlimen berbeza daripada kawasan asal calon itu berkhidmat sebelum ini.

Beliau berkata `calon luar’ yang berpengalaman itu didatangkan ke kawasan Parlimen terpilih bagi memastikan kemenangan dan keperluan masa depan parti.

“Memang terdapat kemungkinan calon yang diketengahkan tidak mengira kawasan yang mereka wakili sebelum ini. Mungkin negeri lain tidak terbabit, tetapi di Johor, saya melihat BN negeri perlu senaraikan calon yang terbaik.

“Saya secara peribadi berpendapat, sememangnya keutamaan perlu diberikan kepada calon tempatan. Namun, disebabkan keperluan tertentu, BN Johor perlukan strategi baharu serta terima juga calon terbaik yang akan mewakili parti.

“Pada waktu ini, saya diberi gambaran tiga atau empat kawasan Parlimen di negeri ini terbabit dalam pertimbangan bagi `calon luar’ ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Nelayan Pontian, hari ini.

Sebelum ini, desas-desus hangat menyatakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, akan membuat kemunculan semula bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi pada PRU15, selepas tewas mengejut di kerusi Parlimen Pasir Gudang, pada PRU14 lalu.

Nama Hasni turut hangat diperkatakan akan bertanding dan mengambil alih kerusi Parlimen Pontian daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang juga penyandang kerusi itu selama tiga penggal.

Hasni pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian apabila memenangi kerusi itu pada PRU11 sebelum memberi laluan kepada Ahmad dan bertanding di kerusi DUN Benut pada PRU12. Beliau menyandang kerusi DUN Benut hingga sekarang.

Ahmad pula dikatakan bakal berpindah ke kerusi Parlimen lain, kemungkinan yang hangat diperkatakan antaranya Tanjung Piai atau Simpang Renggam. – Malaysiapost

Komen