‘PRU15 bukan lagi masa untuk rakyat Malaysia bereksperimen’ – Zahid
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengulangi kesilapan sama dengan menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai tempat bereksperimen.
Beliau berkata, ini kerana PRU15 sangat mustahak dalam menentukan masa depan negara dan rakyat mendepani pelbagai isu termasuk kemelesetan ekonomi global.
“Ingatlah sebilangan rakyat pernah bereksperimen pada PRU14. Natijah tersilap memilih kerajaan seperti yang berlaku pada 9 Mei 2018 adalah amat buruk.
“Kemorosotan ekonomi, kewangan negara kucar-kacir, ketidakstabilan politik, keharmonian hidup masyarakat terganggu, kebajikan rakyat dikurangkan,” katanya menerusi Facebook.
Jelas Ahmad Zahid lagi, ketika pentadbiran PH aset strategik negara `dilelong’ sewenang-wenang, projek untuk rakyat ‘difaraid’ oleh kroni selain banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.
“Sekali gus menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Pentadbiran kerajaan PH lebih mengutamakan politik berbanding berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kini PH dilihat kembali ‘memujuk’ rakyat memilih mereka sebagai kerajaan pada PRU15, selain menyatakan kesediaan untuk ditendang jika prestasi kerajaan PH `ke laut’.
“Apakah PH fikir begitu mudah rakyat Malaysia dipermainkan dengan propaganda seperti ini selepas rakyat menyaksikan apa yang terjadi hanya dalam tempoh 22 bulan?
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama pada hari pengundian 19 November ini. Kerajaan BN yang terbukti berkemampuan, berpengalaman, kukuh dan stabil perlu dibentuk,” katanya.
Ahmad Zahid juga menasihati rakyat supaya tidak memperjudikan masa depan negara dengan memilih PH hanya kerana mempunyai sentimen politik akibat terpengaruh dengan `bisikan’ pemimpin mereka.
“InsyaAllah kita yakin rakyat tidak akan terpedaya lagi dengan pujukan dan propaganda PH yang bertujuan memanipulasi daya fikiran rakyat ini.
“Majoriti rakyat akan berlaku rasional dengan memilih kestabilan dan kemakmuran, bukan memilih kepentingan politik PH semasa membuat penentuan PRU15.
“Lebih baik kita ‘tendang’ mereka lebih awal supaya mereka tidak merosakkan negara dan kesejahteraan keharmonian hidup masyarakat sekali lagi,” katanya.
Semalam, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, PH perlu diberi sekali lagi peluang mentadibir negara, namun sedia digulingkan sekiranya gagal mempamerkan prestasi baik sebagai kerajaan. – Malaysiapost