PRU15: Calon PN wajib lafaz ikrar, tandatangani surat akujanji tolak rasuah

PRU15: Calon PN wajib lafaz ikrar, tandatangani surat akujanji tolak rasuah

PERIKATAN Nasional (PN) mewajibkan semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk melafaz ikrar dan menandatangani surat akujanji menolak rasuah.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata akujanji dan lafaz ikrar itu tanda komitmen calon yang mewakili PN supaya tidak melanggar akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, lafaz ikrar yang dibuat atas nama Allah itu telah dilaksanakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

Menurutnya, perkara tersebut memperlihatkan kesungguhan dan komitmen parti dalam melawan rasuah selain membentuk sebuah kerajaan yang bersih.

“Kita tidak mahu ada calon yang melanggar akta yang telah ditetapkan oleh SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikin pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, semua calon PN yang bertanding akan diumumkan mengikut negeri masing-masing.

Katanya, pengumuman calon secara berpusat tidak akan dilaksanakan kerana PN mahu rakyat dapat mengenali calon-calon yang akan bertanding di kawasan mereka secara lebih dekat.

“Mengenai 27 kerusi panas, agihan telah selesai akan kita akan letakkan semua calon di kawasan tersebut,” katanya. – Malaysiapost

Komen