PRU15: GPS yakin menang semua 31 kerusi Parlimen ditandingi

PRU15: GPS yakin menang semua 31 kerusi Parlimen ditandingi

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) meletakkan sasaran memenangi semua 31 kerusi Parlimen ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sasaran itu bersandarkan kepada sokongan rakyat kepada gabungan parti itu.

“Saya rasa tidak ada masalah untuk GPS memenangi semua kerusi dipertandingkan. Rakyat sentiasa memberi sokongan baik kepada kepimpinan GPS yang diterajui Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selaku Pengerusi GPS,” katanya hari ini.

GPS membabitkan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pada PRU14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen, SUPP (7), PRS (6) dan PDP (4).

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Premier itu berkata, bagi kerusi PBB, GPS tidak menghadapi masalah untuk memenangi semua kerusi ditandingi kerana majoriti kerusi PBB terletak di kawasan luar bandar.

“Saya rasa GPS tidak berdepan masalah daripada sokongan rakyat. Berdasarkan situasi masa ini, GPS boleh menyapu bersih semua kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRU15 pada 5 November, hari pengundian awal pada 15 November, manakala hari pengundian pada 19 November ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 5 November bagi semua calon dan parti politik bertanding. – Malaysiapost

Komen