PRU15: MB Negeri Sembilan sah ganti Anwar di Parlimen Port Dickson
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumum Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar, malam tadi.
Anwar yang juga penyandang kerusi berkenaan memberi laluan kepada Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan untuk PRU15 kali ini.
Sebelum ini, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR disebut-sebut menjadi calon di situ selepas menukarkan lokasi keahlian dari Tampin ke Port Dickson pada awal tahun ini.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, beliau terhutang budi dengan penduduk Port Dickson yang menerimanya dengan baik sepanjang menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.
“Aminuddin orang sini (anak tempatan), buat kerja baik, banyak bantu saya, orang Kampung Pachitan, Chuah dan dia calon sesuai untuk ganti saya di sini.
“Saya amat yakin dia akan jaga Port Dickson dengan baik kerana dia anak tempatan dan juga Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau yakin PH mampu mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan.
Untuk rekod, Aminuddin adalah anak tempatan kelahiran Chuah, Port Dickson.
Semalam, Anwar mengesahkan beliau akan bertanding di Parlimen Tambun, Perak.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober 2018 dengan majoriti 23,560.
Beliau bertanding dalam PRK Port Dickson selepas mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei 2018. – Malaysiapost