PRU15: Pelajar IPT diberi pelepasan 5 hari pulang mengundi – KPT

PRU15: Pelajar IPT diberi pelepasan 5 hari pulang mengundi – KPT

PELAJAR Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) diberi pelepasan lima hari untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam satu edaran surat bertarikh 21 Oktober, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju supaya IPT memberi pelepasan selama lima hari kepada semua pelajarnya untuk pulang mengundi.

Dalam surat berkenaan, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Husaini Omar, berkata pelepasan itu diberikan kepada pelajar bermula 17 hingga 21 November ini.

“Berlandaskan kepada semangat serta penguatkuasaan Undi18, KPT bersetuju supaya semua IPT memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi.

“Tarikh pelepasan adalah dari 17 hingga 21 November 2022 bagi memberi tempoh yang cukup kepada pelajar untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke atau dari lokasi mengundi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua kelas dan aktiviti pelajar dalam tempoh berkenaan hendaklah ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh yang lain.

Difahamkan satu kenyataan media memaklumkan perkara berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November.

Berkuat kuasa 15 Disember lalu, Undi18 sudah diwartakan dan individu yang berusia 18 tahun akan didaftarkan secara automatik sebagai daftar pemilih.

Berdasarkan data, seramai 1.14 juta orang yang tergolong pengundi berusia 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU15. – Malaysiapost

Komen