PRU15: Rundingan kerusi PH-MUDA esok – Anthony Loke
SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke mengesahkan rundingan kerusi antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini ‘tergantung’ akan diadakan esok.
Anthony berkata, beliau sudah bertemu dengan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu semalam mengenai perkara berkenaan.
“Kita telah buat keputusan semalam, saya jumpa dengan Anwar dan Mat Sabu. Kita telah ada kerangka (pakatan pilihanraya) dan arahan telah diberi kepada Jawatankuasa Perundingan, mesti jumpa pihak MUDA esok.
“Mesyuarat telah ditetapkan pagi Ahad ini untuk bincang secara terperinci kerusi mana yang hendak dirundingkan,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, walaupun proses rundingan dilihat berjalan perlahan beliau percaya kerjasama MUDA dengan PH mampu direalisasikan.
“Kadang-kala mungkin proses itu lambat, mungkin ada kekecewaan di situ, itu saya faham. Tapi apapun ada proses sedang berjalan dan bagi saya, tidak ada apa-apa halangan (untuk) kerjasama dengan MUDA,” katanya.
Baru-baru ini, Anwar mengesahkan gabungan itu akan menjalin kerjasama dengan MUDA dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain itu, Presiden PKR itu memaklumkan PH akan turut mengadakan kerjasama dengan beberapa parti lain, antaranya Parti Sosialis Malaysia (PSM), namun tidak memperinci parti lain. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Anthony Loke Siew Fook