PRU15: Shamsul Iskandar tawar diri lawan Ahmad Zahid di Bagan Datuk

PRU15: Shamsul Iskandar tawar diri lawan Ahmad Zahid di Bagan Datuk

DATUK Seri Shamsul Iskandar Md Akin menawarkan diri untuk berentap dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Penerangan PKR itu, berkata beliau bersedia melakukan tugas ‘giant killer’ sekali lagi untuk berentap di kerusi Parlimen yang bukan selesa baginya. 

Penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memilih bertanding di kerusi Parlimen Tambun telah menguatkan lagi hasratnya untuk bertanding di Bagan Datuk yang juga terletak dalam negeri Perak. 

“Jika Anwar boleh bertanding di Tambun, saya merasakan pemimpin kanan parti patut ikut serta bertanding di Perak. Jadi saya menawarkan diri untuk bertanding di Bagan Datuk.

“Anwar mempamerkan sifat kepemimpinan tinggi dengan bertanding di kerusi yang dianggap sukar. Seharusnya, semua pemimpin lain mengikut langkah itu, melepaskan kerusi selesa dan bertanding di kerusi sukar,” katanya seperti dilapor Berita Harian. 

Menjelaskan mengenainya, Shamsul Iskandar berkata, meskipun bakal berdepan nama besar seperti Ahmad Zahid, beliau sedia memberikan tentangan sengit dalam pertembungan pada PRU15.

“Ya, Zahid sudah lama menyandang kerusi itu, beliau Presiden Umno dan bekas Timbalan Perdana Menteri. Jadi saya kena bekerja keras,” katanya.

Shamsul Iskandar dikenali sebagai ‘giant killer’ selepas menewaskan Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). – Malaysiapost

Komen