Siasat Tommy, keputusan sepihak beli Equanimity daripada Genting Malaysia

Siasat Tommy, keputusan sepihak beli Equanimity daripada Genting Malaysia

BEKAS Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dilaporkan membuat keputusan sepihak ketika menerima tawaran membeli kapal Equanimity yang berharga USD126 juta daripada Genting Malaysia Berhad. 

Laporan pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Thomas berkata, bekas Peguam Negara itu “dengan segera menerima” tawaran Pengerusi Genting Lim Kok Thay untuk kapal layar super yang sebelum ini dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Tambahnya, perkara ini dilakukan tanpa merujuk kepada pemilik sah kapal ketika itu, Kumpulan 1MDB dan pemegang saham utamanya, Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

“Tiada juga rujukan dibuat kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), badan yang mengendalikan harta dirampas berhubung jenayah kewangan.

“Secara signifikan, penerimaan tawaran Genting itu tidak dibuat dengan syarat apabila diluluskan oleh Mahkamah Laksamana kerana ia penjualan kehakiman yang memerlukan pengesahan mahkamah itu.

“Berdasarkan apa yang tertulis, nampaknya penerimaan tawaran Genting sebanyak USD126 juta itu ialah keputusan sepihak yang dibuat oleh Thomas sendiri,” menurut laporan itu. 

Pasukan petugas khas menggesa agar pihak berkuasa menyiasat sama ada Thomas, sebagai peguam negara, mempunyai kuasa untuk menerima tawaran Genting tanpa merujuk perkara itu kepada 1MDB dan MOF Inc untuk kelulusan, atau NFCC.

NFCC, katanya, ditubuhkan untuk menguruskan pengembalian aset 1MDB.

Pihak berkuasa juga dicadangkan agar melakukan siasatan jika terdapat kaitan antara penjualan Equanimity kepada Genting dengan penarikan balik permohonan semakan kehakiman terhadap menteri kewangan berhubung pembatalan insentif cukai bagi syarikat itu.

Pasukan petugas itu berkata, Genting sedang berusaha untuk membatalkan keputusan Menteri Kewangan (sebelum ini) yang memansuhkan insentif cukai dalam surat bertarikh 17 Dis 2014, dan deklarasi bahawa insentif itu hendaklah dikembalikan.

“Menteri kewangan, melalui Jabatan Peguam Negara menolak permohonan Genting dan telah menyediakan afidavit membangkang.

“Bagaimanapun, apabila penjualan Equanimity kepada Genting diluluskan oleh mahkamah, permohonan (semakan kehakiman) oleh Genting ditarik balik.

“(Sementara itu,) Menteri Kewangan dalam surat bertarikh 4 Julai 2019, bersetuju untuk mengembalikan keputusan asal menteri kewangan (sebelum ini), di mana insentif pelaburan boleh dituntut atas semua pendapatan Genting yang dinyatakan diperoleh daripada satu sumber,” kata laporan itu. 

Pasukan petugas khas berkata, pengembalian semula insentif cukai kepada Genting akan mengakibatkan Putrajaya kehilangan hasil dan syarikat itu memperoleh keuntungan kewangan yang sepadan. -Malaysiapost

Komen