Tak perlu ada 3 PM, 3 MB dalam satu penggal’ – Ahmad Maslan
MALAYSIA tidak perlu mempunyai tiga Perdana Menteri (PM) atau tiga Menteri Besar (MB) dalam tempoh satu penggal.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kehidupan rakyat akan menjadi sukar jika teraju pemerintahan negara atau negeri asyik bertukar dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, keadaan itu juga akan menyebabkan sukar untuk pelaburan masuk, selain turut memberi kesan kepada pekerjaan.
Katanya, Malaysia tidak perlu mempunyai tiga Perdana Menteri (PM) atau tiga Menteri Besar (MB) dalam tempoh satu penggal.
“Kita tidak perlu ada 3 PM dalam masa satu penggal atau tiga MB dalam masa satu penggal.
“Sukar negara dan negeri jika itu berlaku. Sukar kehidupan rakyat dan sukar untuk terima pelaburan dan pekerjaan.
“Oleh itu stabil dan makmur adalah cita-cita mulia demi rakyat serta negara tercinta,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, pentadbiran kerajaan Persekutuan bertukar tiga kali dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri terakhir sebelum pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebelum membubarkan Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Pembubaran Parlimen itu menurutnya, bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
Pertukaran pemerintahan peringkat negeri pula berlaku di Johor, juga menyaksikan tiga Menteri Besar dilantik sejak 2018 sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan pada Mac lalu. – Malaysiapost