Zahid jangka banyak berita BN guna maklumat ‘sumber’ menjelang PRU15

Zahid jangka banyak berita BN guna maklumat ‘sumber’ menjelang PRU15

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan lebih banyak laporan berita mengenai Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan maklumat ‘sumber’ akan dihidangkan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN itu berkata, beliau berharap semua pihak termasuk pembaca agar berhati-hatilah supaya tidak mudah dimanipulasi oleh pihak yang berselindung di sebalik nama `sumber’.

“Menjelang PRU15 saya jangkakan lebih banyak laporan tentang BN menggunakan sumber akan dihidangkan kepada rakyat.

“Pengalaman PRU14 pada 9 Mei 2018 harus menjadi panduan dan tauladan dalam menilai sesuatu maklumat,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid mengambil contoh laporan yang memetik sumber kononnya beliau tidak bertanding pada PRU15, sebagai antara berita yang memerlukan penilaian sewajarnya daripada pembaca.

“Sebagai contoh berita yang memetik sumber konon saya tidak bertanding pada PRU15.

“Saya sebagai Pengerusi BN sentiasa menghormati kebebasan media untuk melaporkan berita,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap rakyat berhati-hati apabila dihidangkan dengan berita menegnai BN yang mendakwa memetik sumber.

“Sumber itu boleh jadi siapa sahaja. Mungkin pihak yang mempunyai muslihat tertentu untuk berita itu disiarkan.

“Mungkin sahaja berita itu disasarkan akan menyumbang kepada kepentingan ‘sumber’ atau rakan subahatnya,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid lagi, beliau amat memahami keperluan media melaporkan bahan untuk meraih perhatian pembaca namun pembaca perlu membuat penilaian sewajarnya berhubung kandungan sesuatu laporan.

“Bagaimanapun sebagai pembaca perlulah kita meneliti sama ada laporan itu telah dilaporkan dengan asas yang kukuh.

“Dengan hanya berdasarkan sumber atau khabar angin bermakna maklumat tersebut ketiadaan asas yang tepat,” katanya.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan kononnya Ahmad Zahid tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU15.

Menurut laporan akhbar itu, tempat beliau akan diganti anaknya, Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.

Ahmad Zahid bagaimanapun menafikan spekulasi berkenaan. – Malaysiapost

Komen