Agong berkenan terima sembah taklimat pembinaan Stadium AFC, Putrajaya
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima sembah taklimat pembinaan Stadium Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang bakal dibangunkan di Putrajaya.
Sembah taklimat itu disampaikan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa di Istana Negara, hari ini.
Facebook Istana Negara memaklumkan, pembinaan Stadium AFC bernilai USD50 juta dan berkapasiti 10,000 penonton itu oleh AFC dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Turut hadir dalam sesi menghadap yang berlangsung pada pukul 2 petang ialah Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John.
Dalam pada itu, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka turut berkenan menerima sembah taklimat mengenai perkembangan semasa program dan aktiviti AFC dan FIFA di benua ini dan persiapan penganjuran Piala Dunia Qatar 2022.
“Qatar merupakan negara Islam dan negara Asia Barat pertama dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA yang dijadualkan berlangsung bermula pada 20 November hingga 18 Disember 2022.
“Temasya sukan bola sepak tersebut turut menyaksikan penyertaan terbaik negara-negara benua Asia, iaitu Qatar selaku tuan rumah, Arab Saudi, Iran, Korea Selatan dan Jepun, dan rantau ini, iaitu Australia,” kata Istana Negara dalam hantaran Facebooknya.
Seri Paduka dijadual berkenan berangkat menyaksikan Piala Dunia Qatar 2022 atas persilaan Kerajaan Qatar kepada Baginda.
Kali terakhir Seri Paduka berkenan menerima menghadap Shaikh Salman di Istana Negara ialah pada 7 November 2019 sempena majlis penganugerahan ‘AFC Diamond of Asia’ kepada Baginda.
Anugerah yang berprestij itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Seri Paduka selama lebih tiga dekad terhadap permainan bola sepak di benua ini.
“Penglibatan aktif Seri Paduka dalam sukan bola sepak di peringkat domestik dan rantau antarabangsa sangat terserlah menerusi pengalaman Baginda menerajui beberapa persatuan-persatuan sukan tersebut di dalam dan di luar negara,” kata Istana Negara.
Antara jawatan yang pernah disandang adalah Naib Presiden AFC, Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Seri Paduka juga mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih antara tiga Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA mewakili Asia bagi penggal 2015-2019. – Malaysiapost