Anak Tun Dr Ismail nak cabar Zahid atas tiket PH

Anak Tun Dr Ismail nak cabar Zahid atas tiket PH

PENGASAS bersama kumpulan reformasi politik, Gerak Independent (GI) Tawfik Ismail telah mengemukakan permohonan untuk bertanding di Bagan Datuk atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum bulan depan.

Malaysiakini melaporkan, Tawfik berkata langkah itu merupakan strategi untuk mengelak undi PH berpecah.

“Untuk mengelakkan undi berpecah dalam mengejar matlamat yang sama, saya menawarkan pencalonan saya kepada PH sebagai calon di bawah logo mereka,” katanya.

Anak sulung Timbalan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu baru-baru ini menyatakan hasrat untuk mencabar Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

Bagan Datuk merupakan kawasan Parlimen yang dimenangi Ahmad Zahid sebanyak enam penggal sejak 1995.

Sementara itu, FreeMalaysiaToday melaporkan Tawfik telah bertemu beberapa pemimpin kanan PH pada konvensyen gabungan itu Khamis lalu untuk memaklumkan permintaannya.

“Saya berada di konvensyen PH Khamis lalu dan memaklumkan hasrat saya kepada pemimpin gabungan tersebut.

“Saya sekarang berharap dapat berjumpa dengan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi,” katanya – Malaysiapost

Komen