Bapa Dina meninggal dunia

Bapa Dina meninggal dunia

BAPA kepada penyanyi dan juga penyampai radio Sinar, Dina Nadzir, Mohd Nadzir Gulam Kadir, 64 meninggal dunia kira-kira jam 8.10 pagi tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi Instagram Sinar_my.

“Salam takziah buat @dinanadzir atas pemergiaan ayahandanya, Haji Mohd Nadzir Bin Haji Gulam Kadir yang telah menghembuskan nafas terakhirnya jam 8.10 am tadi (23 Oktober 2022) ditemani anak-anak dan orang terdekat yang amat menyayanginya. Al-Fatihah,” tulis hantaran berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Dina, Mickey Sharum dilaporkan berkata, Allahyarham yang turut menghidap kanser tekak dikejarkan hospital Khamis lalu akibat masalah paru-paru.

“Ketika dirawat di situ, Dina sempat menziarahi bapanya yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kelmarin. Mereka sempat berbual dan bergurau kerana bapanya masih sedar.

“Kemudian Dina terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana perlu menghadiri sesi ‘sound check’ semalam untuk program minggu keenam Gegar Vaganza 9 (GV9) yang berlangsung malam ini, namun ketika sesi latihan saya mendapat perkhabaran bapanya sedang tenat.

“Saya membantunya membeli tiket penerbangan ke Johor Bahru dan syukur Dina sempat bertemu bapanya semalam walaupun bapanya terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan,”katanya.

Jenazah Mohd Nadzir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Impian Emas, Johor Bahru selepas Zuhur, hari ini.

Dina yang sepatutnya menyampaikan lagu berjudul Januari nyanyian asal Glen Fredly, tidak akan membuat persembahan pada program GV9 malam ini. – Malaysiapost

Komen