BN akan wujudkan 3 jawatan TPM jika menang PRU15 – Zahid

BN akan wujudkan 3 jawatan TPM jika menang PRU15 – Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sekiranya parti itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan TPM itu akan dimasukkan dalam manifesto BN sebelum PRU15 nanti.

Beliau berkata, jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.

“Dalam konteks negeri ini, cadangan terbabit akan dimasukkan dalam manifesto BN Sabah sebelum PRU15,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Belaiu berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3, di Papar, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi BN merangkap Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata jawatan tiga TPM itu boleh juga digunakan oleh BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai manifesto di peringkat negeri.

“Saya yakin Perdana Menteri akan terima cadangan ini kerana jawatan TPM tidak ada dalam Perlembagaan, itu sebabnya. Sebelum ini, hanya ada empat jawatan menteri kanan.

“Jadi tidak mustahil tiga jawatan TPM diwujudkan sekiranya BN menang dengan dominan. Jawatan itu akan disandang oleh mana-mana pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Beliau juga mencadangkan BN Sabah memasukkan dalam manifesto mengenai peruntukan dari kerajaan Persekutuan disalurkan terus kepada kerajaan negeri sekiranya BN dominan dalam pembentukan kerajaan.

“Saya cadangkan agar Pengerusi BN Sabah memohon kepada kerajaan Persekutuan agar peruntukan yang selama ini disalurkan melalui kementerian di peringkat Persekutuan agar dapat disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Ia boleh disalurkan melalui kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri agar pelaksanaannya boleh dibuat oleh mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan, jalinan kerjasama BN bersama GRS telah mencapai kata sepakat dan kedua-dua gabungan bakal membantu satu sama lain dalam menghadapi PRU15.

“BN tidak akan bertembung dengan GRS dalam soal pembahagian kerusi Parlimen, tidak ada pertembungan. Di mana BN bertanding, GRS tidak akan bertanding.

“Selain itu, kita ada formula (pembahagian kerusi) yang telah dipersetujui oleh Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi GRS. Formula itu akan diumumkan Bung Moktar dan (Pengerusi GRS, Datuk Seri) Hajiji (Noor) dalam waktu terdekat ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen