BN cadang graduan kelas pertama tak perlu bayar pinjaman PTPTN
BARISAN Nasional (BN) mencadangkan graduan yang mendapat ijazah kelas pertama tidak perlu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya mengesyorkan diskaun 20 peratus diberikan kepada mereka yang mahu menyelesaikan sepenuhnya pinjaman yang dibuat dengan PTPTN.
“Pagi ini, lama saya berbincang panjang dengan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengenai inisiatif terbaharu PTPTN di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
“Kami juga membincangkan cadangan banyak pihak untuk meluaskan kadar diskaun pembayaran balik pinjaman bagi graduan yang berjaya mendapat ijazah kelas kedua atas. InsyaAllah akan dipertimbangkan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, sekiranya perkara itu dapat dilaksanakan ia boleh dimasukkan dalam manifesto BN.
“Cadangan inisiatif lain, diskaun 15 peratus kepada mereka yang membuat pembayaran balik pinjaman melalui potongan gaji atau debit terus daripada akaun bank mengikut jadual.
“Selain menyediakan pinjaman sehingga RM3,000 bagi pembelian peranti, komputer dan komputer riba untuk pengajian,” katanya.
Menjawab mengenai rasional pemansuhan bayaran balik PTPTN sepertimana pernah dijanjikan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata BN tidak mahu menjanjikan ‘bulan dan bintang’.
“Ada yang bertanya kenapa BN tidak ikut pendekatan Pakatan Harapan (PH) dan PAS yang pernah menjanjikan pemansuhan bayaran balik PTPTN atau tunggu sehingga gaji melebihi RM4,000 baru mula bayar?
“Saya jawab, BN lebih bertanggungjawab untuk tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi akhirnya mendakwa ‘manifesto bukan kita suci’. Bagi BN, tiada janji, lihat bukti,” katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenal pasti 36 dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik, termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik PTPTN, khusus untuk golongan B40.
Semua cadangan dasar itu dimasukkan dalam ‘SCRIPT-For a Better Malaysia’, buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat Anwar untuk mentransformasikan Malaysia. – Malaysiapost