Buku Tommy: Pendedahan STF, bukti ‘bencana besar’ jika PH kembali berkuasa

Buku Tommy: Pendedahan STF, bukti ‘bencana besar’ jika PH kembali berkuasa

PENDEDAHAN laporan Pasukan Petugas Khas (STF) siasatan ke atas dakwaan buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas membuktikan betapa besar bencana jika membenarkan Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah negara.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Aysyraf Wajdi Dusuki, berkata pendedahan paling besar adalah tindakan Tommy yang didapati telah mengatur pelantikan hakim utama negara sekali gus memberi imej buruk kepada sistem kehakiman.

“(Ia) termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada 2018 dan 2019,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata pelantikan hakim berkenaan bercanggah dengan cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Beliau berkata, sebarang pelantikan hakim hendaklah berdasarkan nasihat JAC sepertimana Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

“Akta ini dibuat pada zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) bagi memastikan Perdana Menteri tidak lagi mempunyai kuasa penuh dalam pelantikan hakim. Sekali gus menaikkan imej kebebasan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, campur tangan keterlaluan Tommy sepertimana dapatan laporan siasatan Pasukan Petugas Khas itu boleh memberi imej buruk dan mengurangkan kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman.

“Apatah lagi terlalu banyak kes pendakwaan politik pada zaman beliau menjadi Peguam Negara. Inilah beza besar antara pentadbiran Barisan Nasional (BN) pasca PM Ke-4 dan pentadbiran zaman Pakatan Harapan.

“Usaha-usaha mentransformasi dan membersihkan imej kebebasan sistem keadilan telah berjaya dilaksana pada zaman kita (BN memerintah).

“Tetapi PH laksana diktator melanggar undang-undang sedia ada demi menguasai setiap cabang pemerintahan termasuk sistem kehakiman kita,” katanya.

Justeru, Asyraf Wajdi menyeru rakyat untuk menolak PH serta sekutu gabungan itu untuk kembali mentadbir negara.

“Inilah sebab besar untuk rakyat terus menolak PH dan bekas-bekas sekutu mereka. Tolak mereka demi negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen