Cadangan projek jambatan Labuan tak pernah dihentikan – PM
CADANGAN projek pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok tidak pernah ditarik balik dan sudah beberapa kali dibincangkan pada peringkat Kabinet, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, idea cadangan pembinaan jambatan Labuan ke tanah besar Sabah itu tidak pernah dihentikan, sebaliknya diteruskan seperti biasa.
“Dua tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan, cadangan pembinaan jambatan Labuan dibincangkan di peringkat Kabinet menyentuh dua perkara iaitu yang pertama supaya diteruskan… yang kedua bagaimana formula pelaksanaannya,” katanya dipetik Bernama.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, agak sukar untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan bajet tinggi bagi pelaksanaan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok yang menelan belanja besar.
“Mungkin pelaksanaannya adalah secara inisiatif kewangan swasta membabitkan pihak swasta, namun ia perlu dibincang secara menyeluruh kerana mungkin ada pertukaran tanah,” katanya.
Ismail Sabri berkata, ada cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok membabitkan penambakan kawasan laut, namun kerajaan tidak pasti keluasan yang diperlukan.
“Formula terbaik sedang dicari dan pada masa sama, Kabinet ingin melihat pelan jangka panjang pelaksanaan pembinaan jambatan ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan mengakui pembangunan di Labuan agak perlahan meskipun sektor kewangan sudah lama beroperasi.
“Walaupun sudah lama Labuan dijadikan hab sektor kewangan, tetapi pembangunan Labuan nampak agak perlahan… kita minta menteri yang menjaga Unit Perancang Ekonomi melihat secara keseluruhan pelan pembangunan Labuan,” katanya. – Malaysiapost