Dakwaan Umno bawa kestabilan adalah satu penipuan – Wan Saiful
DKWAAN Umno boleh membawa kestabilan adalah satu penipuan, sebaliknya negara akan bergolak teruk jika parti itu kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa akan ada perang dalaman antara kumpulan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dakwanya, Ismail Sabri sudah lama merancang mencabar Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, namun ia tidak berlaku apabila pemilihan parti itu ditangguhkan.
“Selepas PRU15 mereka mesti mengadakan pemilihan parti. Umno akan berpecah kerana Zahid sudah pasti mahu kekal Presiden dan mahu merampas kerusi Perdana Menteri.
“Perang dalaman Umno pasti akan menyebabkan negara juga tidak stabil,” katanya menerusi Facebook.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Saiful juga mengingatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau tidak mahu mengambil gaji Perdana Menteri sebagai komitmen membantu rakyat, sekiranya menang PRU15.
“Kita jangan tertipu. Kalau dia (Anwar) begitu kaya hingga boleh membiayai hidup yang mewah tanpa ambil gaji, mana datangnya duit yang dia dapat? Siapa membiayai dia secara rahsia hingga begitu banyak duit?
“Berapa banyak kekayaan yang dia telah kumpul sehingga mampu menolak begitu saja gaji bulanan yang diberi?
“Kita perlu ingat, jika Perdana Menteri bergantung kepada ‘taikun-taikun’ untuk menyara hidup dan keluarga, maka rasuah akan bermaharajalela dalam negara,” katanya.
Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi PH memberi jaminan sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri selepas PRU15, perkara pertama yang akan dilakukan adalah dengan melakukan pemotongan gaji dan elaun bagi jawatan berkenaan. – Malaysiapost