Khalid Samad bertanding di Titiwangsa

Khalid Samad bertanding di Titiwangsa

PENGARAH Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad sah bertanding di Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selepas tiga penggal bertanding di Shah Alam.

Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Asmuni Awi berkata walaupun keputusan itu berisiko namun partinya yakin Khalid dapat mengembalikan semula Titiwangsa kepada Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan Amanah mencalonkan Khalid di Parlimen Titiwangsa merupakan pengorbanan yang luar biasa.

“Meninggalkan Shah Alam bukan keputusan mudah. Parlimen ini telah dikuasainya selama tiga penggal dan pada PRU lalu, Khalid memperoleh majoriti 33,849 menunjukkan kepimpinannya diterima semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asmuni berkata, Parlimen Titiwangsa bakal menjadi percaturan sengit kepada Khalid, namun, beliau akan mempertaruhkan rekod cemerlangnya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk memastikan Titiwangsa kekal sebagai Wilayah PH.

“Banyak lagi percaturan berisiko tetapi berstrategi tinggi akan diambil oleh PH untuk memastikan pengundi seluruh negara turun mengundi pada 19 November dengan keyakinan dan doa untuk membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan baharu,” katanya.

Khalid kemungkinan besar bersaing dengan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Khalid adalah penyandang Parlimen Shah Alam sejak 2008, apabila memenangi kerusi itu ketika mewakili PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat dan kali kedua pada 2013, sebelum mempertahan Shah Alam buat kali ketiga apabila bertanding mewakili Amanah dalam gabungan PH.

Sebelum ini, Johari menyatakan berminat untuk bertanding sekali lagi di Titiwangsa selepas tewas kepada calon Bersatu, Datuk Seri Rina Harun pada PRU14 .

Bagaimanapun, Rina selaku penyandang kerusi Titiwangsa dikatakan akan digantikan dengan Wan Ahmad Fayhsal yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa. – Malaysiapost

Komen