Papan iklan ‘Ayor Bukan Ayaq’ muncul di pekan Tambun
PAPAN iklan gergasi muncul di pekan Tambun selepas sehari ‘usikan’ Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Faizal yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Tambun memberi reaksi secara berseloroh apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengumumkan untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Dalam kenyataannya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu, mengalu-alukan kedatangan Anwar ke Tambun namun sempat ‘mengusik’ Presiden PKR itu mengenai penduduk Tambun yang menyebut perkataan air sebagai ‘ayor’, dan bukannya ‘ayaq’, merujuk kepada Anwar yang berasal dari Pulau Pinang.
Kemunculan papan iklan yang memaparkan gambar Ahmad Faizal dengan kapsyen ‘Ayor bukan Ayaq’ itu telah memberi isyarat bahawa kehangatan bahang PRU15 semakin terasa sekali gus Parlimen Tambun bakal menjadi salah satu kerusi tumpuan nanti.
Kerusi Parlimen Tambun diramal panas pada PRU15 kerana setakat ini, dilaporkan Presiden dan Timbalan Presiden dua parti mengesahkan bakal berentap merebut kerusi tersebut. -Malaysiapost