Peja tidak pertahan DUN Chenderiang?

Peja tidak pertahan DUN Chenderiang?

TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan untuk tidak lagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Faizal berkata, keputusan untuknya bertanding di DUN Chenderiang masih belum diputuskan, selain mengakui mahu memberi tumpuan di Parlimen Tambun.

“Itu (bertanding DUN Chenderiang) belum kita (Perikatan Nasional) putuskan lagi, tetapi saya fikir secara peribadinya saya ingin menumpukan perhatian kepada Parlimen Tambun.

“Bukan kerana (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ingin bertanding di Tambun, tetapi saya fikir eloklah kita beri peluang kepada pemimpin lain untuk ditonjolkan (di Chenderiang) memandangkan saya sudahpun mempunyai pengalaman sebagai ADUN bahkan pernah menjadi Menteri Besar Perak.

“Saya tak hendak jadi macam parti-parti lain yang berebut hendak jadi Menteri Besar. Saya tak berebut, saya nak bagi perkhidmatan kepada orang ramai. Itu yang saya kena cuba lakukan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Pengerusi PN Perak berkata, gabungan itu tidak terkesan susulan pengumuman PH yang menyasarkan Perak sebagai benteng hadapan dalam menghadapi saingan PRU15 kali ini.

Beliau berkata, tidak hanya Perak, malah semua negeri terutama di Semenanjung disasarkan oleh PN bagi diberikan fokus.

“Jadi, kita tidak hanya memberikan fokus kepada Perak, sebaliknya fokus kita adalah kepada seluruh negeri di Semenanjung juga bersama rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan PH mahu menjadikan negeri Perak sebagai ‘benteng hadapan’ pada PRU15 selepas kejayaan pakatan terbabit ‘menawan’ Pulau Pinang dan Selangor.

PH dilaporkan akan membina ‘corridor of hope’ (koridor harapan) dari Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan dengan tumpuan pada PRU-15 bagi menjayakan agenda itu adalah kepada negeri Perak. – Malaysiapost

Komen