Polis siasat insiden provokasi ketika majlis anjuran MUDA di Muar
POLIS sedang menyiasat insiden provokasi yang berlaku ketika Majlis Malam ‘Mesra Muo’ anjuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang diadakan di sebuah dewan restoran di Jalan Bakri, Muar, Johor, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata siasatan terhadap insiden pada kira-kira jam 9.35 malam itu dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Beliau berkata, kekecohan dipercayai bermula apabila tetamu di sebuah dewan keluar bersemuka dengan sekumpulan kira-kira 30 individu yang memakai pelitup muka sambil menjerit-jerit.
“Kejadian itu kemudiannya membawa kepada insiden membaling botol serta mercun.
“Polis juga menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu Ketua Penerangan MUDA Muar, Muhammad Amir Fiqri Mustapha berkata, pihaknya akan terus berkerjasama dengan polis untuk memberi keterangan, sekali gus mencari dalang provokasi berkenaan. – Malaysiapost