Poster 8 calon Parlimen PN di Terengganu palsu – Ahmad Samsuri
PENYEBARAN poster memaparkan lapan individu yang dikatakan calon Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Terengganu yang tular baru-baru ini adalah palsu.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menafikan kesahihan poster itu berkata menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sesiapa sahaja boleh membuat poster sedemikian atas pelbagai tujuan.
“Saya gelak sahaja tengok gambar (poster) itu, bukan itu sahaja, ada lagi yang lain. Tak tahulah siapa yang buat, kalau ikut poster tu memang tak betullah.
“Saya pun tak tahu lagi akan bertanding di mana, bertanding ke tak bertanding ke, memang tak tahu lagi,” katanya hari ini.
Poster tersebut memaparkan enam pemimpin PAS iaitu Ahmad Samsuri bertanding di Parlimen Kuala Nerus, Khalil Abdul Hadi (Marang), Datuk Fariz Mustafa Ali (Dungun), Hanafiah Mat (Kemaman), Datuk Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu) dan Zabidi Yusof (Besut).
Dua lagi calon ialah dari Bersatu iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Razali Idris (Setiu).
Ditanya mengenai senarai calon Parlimen bagi parti-parti komponen PN pula, Ahmad Samsuri berkata perkara itu belum dimuktamadkan. – Malaysiapost