PRU15: Syed Saddiq mahu bertanding Parlimen Muar
PRESIDEN MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhasrat mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau mengesahkan telah menyampaikan hasrat berkenaan kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH)
Syed Saddiq yang merupakan penyandang kerusi berkenaan berkata beliau mahu mempertahankan kerusi dimenanginya itu kerana berasa terhutang budi kepada warga Muar yang memberikannya peluang untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen pada PRU14.
“Namun, saya tidak mahu mendahului perkara itu kerana menghormati proses rundingan bersama sahabat PH.
“Saya telah pun menyampaikan niat saya untuk mempertahankan kerusi Muar,” katanya selepas Majlis Malam Mesra Muo, malam tadi.
Sebelum ini Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan gabungan itu akan menjalin kerjasama dengan MUDA dalam PRU15.
Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon PH daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (Barisan Nasional) dan Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi. – Malaysiapost