PRU15: Tamatkan Kerajaan Umno, demi pemulihan negara – Dr Mahathir

PRU15: Tamatkan Kerajaan Umno, demi pemulihan negara – Dr Mahathir

MALAYSIA akan mengalami keadaan yang lebih teruk jika kerajaan Umno tidak ‘ditamatkan’, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), berkata beliau yakin sekiranya Umno tidak ‘ditamatkan’ pemulihan negara tidak dapat dilakukan.

Justeru katanya, bagi merealisasikan usaha berkenaan adalah wajar supaya semua kesalahan dan kegagalan Umno didedah untuk memastikan rakyat menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kepimpinan Umno tidak senang mendengar serangan terhadap parti itu. Konon serangan disebabkan percubaan menutup kegagalan penyerang.

“Sebenarnya serangan terhadap Umno disebabkan khuatir parti kleptokrat ini memenangi PRU15 dan mendiri Kerajaan kleptokrasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Penjuang) itu berkata, sekiranya keburukan Umno tidak didedahkan besar kemungkinan pengundi tidak berfikir panjang dan mengundi Umno pada PRU15.

“Apatah lagi kepimpinan Umno amat berjaya menutup perbuatan salah mereka dengan mendakwa ahli dan penyokong tidak perlu malu apabila melaku kesalahan.

“Dengan sifat ini kesalahan (bekas) Presiden Umno yang sudah dipenjara dan dikenakan denda RM210 juta bukanlah sesuatu yang tidak baik dan perlu dirasai malu oleh ahli dan penyokong Umno. Oleh itu jangan malu apabila menyokong Umno.

“Apatah lagi sokongan akan dibalas dengan sogokan wang. Pedulikan apa akan terjadi kepada negara apabila puak kleptokrat ‘Cash is King’ memerintah sekali lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menggesa rakyat supaya saling mengingatkan pengundi keburukan pemerintahan Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan sekutunya.

“Malaysia sudah jadi negara separuh maju sehingga dikenali sebagai Harimau Asia. Apabila Najib menjadi Perdana Menteri beliau menolak khidmat untuk bangsa dan negara.

“Sebaliknya ia berpendapat melalui sogokan wang yang banyak kepada rakyat, Umno akan dipilih dalam tiap-tiap PRU.

“Untuk jayakan kepercayaan ‘Cash is King’ atau ‘Wang Tunai itu Raja’ Najib mencurahkan berbillion ringgit kepada Umno dan rakyat secara percuma,” katanya.

Dr Mahathir juga mendakwa dana besar yang digunakan Najib itu adalah daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu syarikat milik kerajaan yang ditubuhkannya.

“1MDB syarikat milik kerajaan bermodal 1 juta Ringgit dan syarikat meminjam lebih dari RM40 billion dengan faedah yang tinggi.

“Sebahagian dari wang ini dimasukkan dalam akaun peribadi Najib dan wang inilah yang diagih kepada pemimpin dan bahagian Umno.

“Dan mereka pun tutup mata terhadap kesalahan Najib memasukkan wang yang dipinjam oleh 1MDB ke dalam akaun peribadinya,” katanya.

Jelas Dr Mahathir lagi, apabila Najib tewas pada PRU14 beliau tidak lagi dapat menyembunyikan jenayah yang dilakukan.

Malah katanya, kekalahan BN juga membongkar bermacam-macam jenayah dan salah guna kuasa yang dilakukan semasa pemerintahan Najib dan Umno.

“Selain dari itu prestasi pencapaian Malaysia merosot sehingga dikenali oleh dunia sebagai kleptokrasi, iaitu negara pencuri yang dipimpin oleh pencuri. Dan Malaysia tidak lagi menjadi Harimau Asia.

“Di masa yang sama politik Malaysia menjadi tidak stabil dengan kerajaan-yang lemah yang tidak cekap. Prestasi Malaysia merosot teruk, dan kewangan Malaysia tertekan kerana bayaran hutang yang bertimbun,” katanya. – Malaysiapost

Komen