Wisma Putra jejak rakyat Malaysia jadi mangsa sindiket penipuan kerja

Wisma Putra jejak rakyat Malaysia jadi mangsa sindiket penipuan kerja

Ben Ibrahim

WISMA Putra sedang menjejak rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata walaupun jumlah laporan berkaitan isu itu semakin berkurangan, namun usaha masih diteruskan bagi memastikan tidak ada lagi rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa negara terbabit.

“Semalam ada 10 orang lagi rakyat kita berjaya dibawa pulang dan setakat ini 313 sudah berjaya kita selamatkan dan mereka dikesan menjadi mangsa sindiket di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

“Bakinya ada 58 lagi yang menunggu pelepasan daripada pihak berkuasa negara berkenaan untuk dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program gerai prihatin rakyat peringkat Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

Semalam, Wisma Putra melalui satu kenyataan media memaklumkan seramai 10 lagi rakyat Malaysia, mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 11.50 malam tadi dengan menaiki pesawat AK535 dan diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Setakat semalam, 313 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan berjaya diselamatkan dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Daripada jumlah itu, 255 orang sudah dihantar pulang manakala baki 58 lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen negara berkenaan sementara menunggu proses pengusiran. – Malaysiapost

Komen