Apa pendirian PH, PN isu Tommy Thomas? – Asyraf Wajdi
PAKATAN Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang terus mengunci mulut berhubung hasil siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku ditulis Tan Sri Tommy Thomas, menunjukkan mereka pilih bulu dan hanya menjaja konsep integriti untuk memburukkan pihak lawan.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PH dan PN tidak berani mempertahankan integriti tersebut hari ini apabila situasi tidak memihak kepentingan politik mereka.
“Sudah lebih 48 jam laporan siasatan pasukan khas didedahkan oleh kerajaan. Namun, belum ada pimpinan utama PH ataupun PN yang berani menyatakan pendirian tegas dalam isu ini
“Ini adalah sesuatu yang amat janggal sedangkan PN dan PH seringkali bercakap soal kebebasan hakim,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, kerajaan Barisan Nasional (BN) bermula zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berusaha termasuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman pada 2009 bagi memastikan hakim yang dilantik bebas daripada campur tangan politik.
Bagaimanapun katanya, bermula zaman PH, lantikan hakim-hakim ini ditentukan oleh Peguam Negara dan Perdana Menteri yang sudah tentunya mempunyai kepentingan tersendiri.
“Kita tidak mempertikaikan kewibawaan hakim atau keputusan yang mereka telah buat dalam kes-kes tertentu. Itu adalah isu yang berbeza.
“Yang berlaku sekarang adalah imej kehakiman. Bagaimana dunia luar dan rakyat melihat negara kita sekiranya hakim-hakim utama didakwa mendapat lantikan melalui tekanan politik pihak tertentu.
“Tapi nampaknya PH dan PN berdiam diri. Langsung tidak berani mengutuk sebarang dakwaan Tommy yang telah mencalar tunjang keadilan negara,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, sikap berdiam diri itu menunjukkan PH dan PN sebenarnya pilih bulu dan hanya menjaja konsep integriti untuk memburukkan pihak lawan.
“Umno tidak pernah memilih-milih integriti dan kami sanggup mengakui kesilapan dan memperbaikinya.
“Umno mengakui pada zaman Perdana Menteri keempat dahulu, kerajaan telah bersikap tidak adil kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Saleh Abas dan lima yang lain melalui pembayaran ex gratia pada 2008,” katanya.
Menurutnya, Umno sentiasa mengakui dan memperbaiki diri walaupun kesilapan itu dibuat oleh generasi lepas yang telahpun meninggalkan parti.
“Tetapi PH dan PN nampaknya amat hipokrit dan bersikap selektif. Sehingga tidak berani menyatakan pendirian tegas dalam isu Tommy. Inilah wajah sebenar kedua-dua PH dan PN,” katanya. – Malaysiapost