Cadangan 3 TPM perlu jadi sebahagian manifesto BN

Cadangan 3 TPM perlu jadi sebahagian manifesto BN

CADANGAN pelantikan tiga Timbalan Perdana Menteri termasuk wakil dari Sabah dan Sarawak perlu dijadikan sebahagian manifesto Barisan Nasional (BN) sekiranya ia mahu dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jika janji itu menjadi sebahagian manifesto dan BN menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), maka pimpinan Sarawak dan Sabah perlu memberi nama untuk mengisi jawatan berkenaan.

Setakat ini, beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, parti belum menentukan calon yang bakal mengisi tiga jawatan berkenaan dan memberi tumpuan penuh untuk memenangi PRU15 terlebih dahulu.

“Kalau perkara ini ada dalam manifesto kita, tentu saja kita akan pastikan ia dilaksanakan. Bagaimanapun, tunggu kita menang dulu dan lepas itu kita bincang.

“Tentu saja kalau kita teruskan dengan cadangan dan manifesto ini, kita akan dapatkan nama. Kalau wakil sabah, (pimpinan) Sabah akan beri nama dan kalau wakil Sarawak, kerajaan Sarawak akan beri nama pada kita. Kita akan bincanglah

“Tapi tunggulah. Kamu semua kena undi kita dululah baru kita akan laksanakan,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Ekspresi@FINAS, hari ini.

Ia susulan janji disuarakan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam yang memberi jaminan tiga jawatan itu akan diwujudkan sekiranya BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan dalam PRU15. – Malaysiapost

Komen