Feri terkandas berjaya ditunda ke Terminal Feri Kuala Kedah
OPERASI membawa Feri penumpang yang terkandas di muara Kuala Kedah akibat air laut surut merapat ke Terminal Feri Kuala Kedah berjaya dilakukan, malam tadi.
Feri berkenaan ditunda bot tunda milik sebuah daripada syarikat kargo di Kuala Kedah, pada jam 9.25 malam.
Terdahulu, Jabatan Laut Malaysia (JLM) melaporkan kepada Zon Maritim Kuala Kedah berkaitan sebuah feri penumpang Express Bahagia 98 terkandas di posisi 1.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah yang membabitkan 547 penumpang pada jam 4.15 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata sejurus selepas itu, sebuah aset bot PERKASA 1224 digerakkan bagi melakukan medical evacuation (MEDEVAC) kerana terdapat laporan beberapa penumpang mengalami simptom sesak nafas.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami sesak nafas kemudian mendapat rawatan perubatan daripada petugas kesihatan setibanya di Terminal Feri Kuala Kedah.
“Seramai 272 penumpang berjaya dibawa keluar secara berperingkat oleh bot PERKASA 1224 Maritim Malaysia, bot ronda PSC 19 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bantuan daripada beberapa bot nelayan tempatan sekitar Kuala Kedah serta Yan.
“Baki penumpang lain yang masih berada dalam feri yang berjaya ditunda ke jeti.
“Operasi memindahkan penumpang turut berdepan detik sukar dan beberapa kali enjin bot pasukan penyelamat tersekat disebabkan air cetek serta permukaan lantai laut berselut,” katanya dalam kenyataan.
Noor Azreyanti berkata, berikutan itu, operasi dikendalikan Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi itu selesai dan dan ditamatkan pada jam 10 malam tadi.
Beliau berkata, Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan pengendali feri penumpang supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap pengetahuan mengenai pasang surut air laut dalam mengendalikan feri pada masa depan supaya insiden sama tidak berulang.
“Maklumat kecemasan juga sewajarnya dilapor terus kepada Maritim Malaysia melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 supaya bantuan segera dapat diberikan,” katanya. – Malaysiapost